
Naib Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, salah faham komuniti yang tidak diselesaikan dengan cara yang betul terutama isu perkauman dan agama boleh menyebabkan perpecahan kaum sehingga mencetuskan ketidakharmonian.
Menurutnya, projek tersebut merupakan satu mekanisme yang sesuai bagi menyelesaikan konflik komuniti kerana ia membuka peluang perbincangan antara kedua-dua belah pihak yang terlibat dengan bantuan mediator.
“Oleh sebab itu, mediator yang dilantik haruslah mempunyai kemampuan dan latihan yang mencukupi, lebih baik jika dikenali dan dihormati dalam kalangan masyarakat sekitar agar keputusan yang dibuat tidak disangkal.
“Saya sangat bersetuju dengan adanya projek itu memandangkan ia mampu menangani perselisihan faham malah perlu diwujudkan di setiap negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini me- laporkan kerajaan akan mewujudkan sebuah Projek Perintis Pusat Mediasi Komuniti di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya bagi menyediakan perkhidmatan mediasi untuk menyelesaikan kes-kes konflik komuniti setempat.
Pelaksanaan projek kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu melibatkan tiga pihak iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Perbadanan Putrajaya.
Sementara itu, Pre- siden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S. Ramamurthy mencadangkan agar agensi kerajaan dan penjawat awam seperti pegawai daerah atau polis terlibat secara langsung dalam Projek Pe- rintis Pusat Mediasi Komuniti.
Katanya, golongan tersebut harus dilantik sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah bagi mengelakkan isu ‘pilih kasih’ dan rasa tidak puas hati kepada mereka yang terlibat.
“Sekiranya salah memilih orang tengah, kes salah faham yang berlaku tidak dapat ditangani serta akan menjejaskan usaha kerajaan bagi menggalakkan masyarakat menguruskan konflik di peringkat komuniti.
“Walau bagaimanapun, saya tetap menyokong tindakan kerajaan itu tetapi perlu diteliti agar dapat membantu masyarakat menyelesaikan masalah tanpa wujudnya persengketaan,’’ katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pusat-mediasi-komuniti-eratkan-perpaduan-rakyat-1.109532#ixzz4h8UlcYEP
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments:
Post a Comment