• LATAR BELAKANG PUSAT MEDIASI KOMUNITI PUTRAJAYA (PMKP)



    1.                  LATAR BELAKANG PUSAT MEDIASI KOMUNITI PUTRAJAYA (PMKP)

    Inovasi penubuhan Pusat Mediasi Komuniti secara berstrukur adalah sebahagian daripada intipati penyelidikan Kumpulan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (Geran TD-2014-001 berjumlah RM128,800.00) yang diketuai oleh Felo Utama Siti Naaishah Hambali dengan sekumpulan penyelidik daripada pelbagai disiplin iaitu Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar, Prof. Dato’ Dr. Abdullah Sani Mohamed, Prof. Dr. Nazura Abdul Manap, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal bin Abd Rahman, Prof. Madya Dr. Muhammad Rizal Razman, Dr. Asma Hakimah Ab. Halim, Dr. Siti Muyassarah Rusli, Dr. Lee Jing dan Puan Fatimah Yusro Hashim.  Penyelidikan yang bermula pada tahun 2014 ini pada asasnya mengkaji daya maju Klinik Bantuan Guaman UKM-UNIKEB dalam memberikan khidmat mediasi kepada komuniti secara pro bono.

    Dapatan awal penyelidikan menunjukkan bahawa Klinik Bantuan Guaman UKM-UNIKEB berpotensi memberikan khidmat mediasi kepada komuniti dengan kerjasama pihak-pihak yang relevan dan berminat.  Sehubungan dengan itu,  sebahagian dari ahli Kumpulan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (Geran TD-2014-001 yang   terdiri dari   Felo Utama Siti Naaishah Hambali, Prof. Dato’ Dr. Mazlin bin Mokhtar, Prof. Dr. Nazura Abdul Manap, Professor  Dr. Muhammad Rizal Razman, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal bin Abd Rahman, Dr. Siti Muyassarah Rusli , Dr. Asma Hakimah Ab. Halim telah menubuhkan satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pengasas Khidmat Mediasi Komuniti yang   dipengurusikan   oleh Felo Utama Siti Naaishah Hambali .  Jawatankuasa ini     mengenalpasti bahawa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)  adalah  pihak yang paling sesuai untuk menjadi rakan strategik dalah hal-ehwal  mediasi komuniti. Seterusnya  kumpulan mediasi JPNIN iaitu Dato’ Gandesan A/L Letchumanan (Ketua Pengarah JPNIN),  Tuan  Ho Khek Hua (Pengarah Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional/IKLIN),  Tuan Zulkifli Hashim (Pengarah Bahagian Pengurusan Perpaduan JPNIN),  Tuan Mohd Khalil Haji Ahmad (Timbalan Pengarah Kajian IKLIN , Puan Hajah Norihan binti Ali (Pengarah JPNIN Wilayah Persekutuan Putrajaya telah menganggotai jawatankuasa Pengasas Mediasi Komuniti tersebut.

    Kumpulan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (Geran TD-2014-001)  ini mendapati bahawa semua pusat mediasi dan mediator, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Akta Pengantaraan 2012, hendaklah mematuhi kehendak yang diperuntukkan di bawah Akta. Usul agar kerajaan perlu menggerakkan pusat-pusat mediasi komuniti dan mediator JPNIN selaras dengan kehendak Akta tersebut telah dibawa ke perhatian Majlis Sosial Negara pada awal tahun 2015 dan telah disahkan oleh Majlis pada 30 Jun 2015 yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri.

    Perkembangan ini membawa Jawatankuasa Pengasas Mediasi Komuniti kepada gerak kerja ke arah penubuhan Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya (PMKP) sebagai projek perintis. PMKP akan diguna pakai sebagai pusat model dalam penubuhan pusat-pusat mediasi komuniti lain di seluruh Malaysia. Dalam pada itu, pegawai-pegawai JPNIN di peringkat negeri atau daerah telah mula menghadiri siri Kursus Kemahiran Mediasi yang dikendalikan oleh Kumpulan TD-2014-001 untuk memenuhi keperluan Akta Pengantaraan 2012.

    Untuk memastikan proses ke arah PMKP berjalan lancar, Jawatankuasa Pengasas telah mengadakan  beberapa sesi bengkel   di Hotel Bangi-Putrajaya bersama pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.  Siri Bengkel Kit dan Bengkel Gerak Kerja Pengurusan Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya telah diadakan sekitar 2015 dengan kehadiran Pegawai-pegawai Kanan JPNIN yang berkaitan .

    Dalam masa yang sama, satu lagi kumpulan penyelidikan telah ditubuhkan pada tahun 2015 dengan geran sebanyak RM49,000 daripada Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (Geran UU-2016-002). Kumpulan ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal bin Abd Rahman dan dianggotai oleh Felo Utama Siti Naaishah Hambali, Prof. Dato’ Mazlin bin Mokhtar, Prof. Dr. Nazura Abdul Manap, Dr. Asma Hakimah Ab. Halim, Dr. Siti Muyassarah Rusli, Encik Zulkifli Hashim dan Puan Aryantie Ariffin.  Kumpulan ini bergerak ke arah  penyelidikan Kit Mediasi dan Dokumen Penggredan Mediator Pusat Mediasi Komuniti untuk kegunaan PMKP.

    Kumpulan Penyelidikan TD-2014-001, UU-2016-002 dan JPNIN juga telah melakukan proses penanda arasan untuk memastikan bahawa PMKP bukan sahaja mematuhi Akta Pengantaraan 2012 tetapi ia juga mengikuti konvensyen dalam amalan mediasi. Penanda arasan telah dijalankan pada tahun 2015 di Australia dan Scotland, dan pada tahun 2016 di Singapura.

    Memandangkan mediasi merupakan salah satu pendekatan yang boleh memenuhi pengawalseliaan kelestarian yang baik, di samping terus merealisasikan hasrat ke arah pembangunan lestari Negara, kumpulan penyelidikan TD-2014-001 telah berusaha ke arah penubuhan satu kumpulan teras penyelidikan. Kumpulan ini bersetuju bahawa Institut Alam Sekitar dan Pembangunan UKM (LESTARI) adalah pihak yang paling tepat dan sesuai untuk membawa mandat ini. Sehubungan dengan itu, kumpulan TD-2014-001 dengan kerjasama LESTARI melalui Pusat Penyelidikan Sains dan Governans Kelestarian (SGK) telah menubuhkan Kumpulan Teras Penyelidikan “MEDIASI LESTARI UKM”. MEDIASI LESTARI UKM juga berperanan sebagai satu kumpulan kesinambungan selepas tamat tempoh penyelidikan bagi kumpulan TD-2014-001 dan UU-2016-002.

    Pengoperasian PMKP di Kompleks Kejiranan Presint 9 Putrajaya kini dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), MEDIASI LESTARI Universiti Kebangsaan Malaysia (MEDIASI LESTARI UKM), Kumpulan Pakar Industri Mediasi  dan Perbadanan Putrajaya. JPNIN menyediakan pengurusan dan operasi kos, MEDIASI LESTARI UKM dan Kumpulan  Pakar Industri Mediasi   menyediakan kepakaran yang relevan dan pensijilan, manakala Perbadanan Putrajaya menyediakan premis dan penyelenggaraan.
  • 0 comments:

    Post a Comment

    Penjelasan Lanjut?

    Hantarkan pertanyaan / permasalahan anda memalui pautan yang disediakan atau anda boleh hadir ke pusat kami di alamat :

    Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya,
    Jalan P9c, Presint 9,
    62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya,
    Malaysia

    ALAMAT

    Pusat Mediasi Komuniti Putrajaya,
    Jalan P9c, Presint 9,
    62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya,
    Malaysia

    EMAIL

    pmkputrajaya9@gmail.com
    naaishah@gmail.com

    TELEFON

    +603-8883 7000
    +601-9771-3027